Friday, June 11, 2010

Perkasa teras utama kedaulatan negara:perjuangan Melayu


KETIKA remaja di negara ini sibuk meraikan Hari Kekasih pada 14 Februari lalu, golongan ini terlupa tarikh keramat yang sama 68 tahun lalu, pahlawan negara Leftenan Muda Adnan Saidi bermati-matian di Bukit Candu, Singapura mempertahankan tanah air daripada jatuh ke tangan musuh.

Kisah jerih, payah dan getir pejuang negara ini bagaimanapun tidak diingati anak muda kerana ketika mereka dilahirkan, semuanya sudah sempurna. Tidak perlu melalui tempoh darurat atau kawasan hitam, kekejaman, kezaliman dan penderitaan negara ketika dijajah. Sebagai anak bekas perajurit negara, teringat lagi ketika ayah sibuk dengan persiapan untuk masuk ke hutan. Beg besar yang harus digalas, but serta pakaian seragam celoreng hijau dan yang paling besar adalah pengorbanannya meninggalkan kami sekeluarga untuk pergi berjuang mempertahankan tanah air.


Kesan paling ketara pengaruh anak tentera begitu menebal di jiwa kami lima beradik yang dididik dengan penuh disiplin. Tidak perlu emak menjerit di kala Subuh untuk bersiap ke sekolah kerana ketegasan ayah membolehkan kami bangun tepat pada awal pagi. Begitu juga ketika makan, mengulang kaji pelajaran mahupun untuk mengambil duit belanja sekolah, siap diarahkan beratur dan berkawad seolah-olah berada di kem tentera. Itulah penangan didikan bapa yang terkenal dengan ketegasan ditambah pula misai lentiknya yang cukup digeruni. Itu cerita lama 30 tahun lalu. Mungkin pengalaman melihat pengorbanan anggota tentera seperti ayah hanya dirasai segelintir anak perajurit seperti kami, tetapi tidak remaja lain. Mereka dibesarkan dengan suasana negara aman dan cukup bertuah kerana tidak perlu menempuh zaman hitam terutama sekali melalui detik getir perjuangan menentang pengganas seperti Parti Komunis Malaya (PKM) yang menjadi pembelot tanah air.


Ketika ditanya mengenai perasaan pasukan Angkatan Tentera Darat (ATM) mengenai pengorbanan mereka umpama ‘wira tak didendang’, terpacul pepatah Inggeris ‘Less we forget’ daripada panglimanya, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin.


“Kita tidak pernah menyalahkan golongan muda kerana tidak menyedari pengorbanan kami. Remaja tidak pernah rasa susah. Mereka dilahirkan senang tanpa suasana peperangan. Tidak pernah melihat kereta api meletup di depan mata atau mayat manusia merata-rata, jauh lagi merana kesusahan.


“Yang penting semangat patriotisme bagi menjaga kedaulatan dan keamanan harus ada. Jangan sesekali membiarkan maruah tanah air diperlekeh atau diperkotak-katik sewenang-wenangnya. Itu sudah cukup bermakna buat kami,” katanya.


Menjadikan peperangan menentang komunis sebagai contoh, beliau meminta rakyat mengingati sejarah perjuangan itu sebagai pengajaran akan bahaya musuh dalam selimut. “Negara mengambil masa kira-kira 41 tahun untuk memerangi dan menewaskan pengganas komunis di bawah pimpinan Setiausaha Agungnya, Chin Peng.


“Generasi muda wajar berbangga dengan kejayaan pasukan keselamatan mematahkan pemberontakan komunis. Bukan itu saja, sejarah dan pengorbanan pasukan ini mempertaruhkan nyawa untuk menghancurkan keganasan komunis tidak harus dipersia-siakan,” katanya sempena ulang tahun ke-77 pasukannya hari ini.


Muhammad Ismail berkata, lebih bertuah kerajaan kini memberi keutamaan secukupnya kepada pembangunan negara.


“Ketika peperangan, kerajaan menanggung kos berjuta-juta ringgit sehari bagi memastikan bajet secukupnya untuk menyelenggara segala peralatan serta ketumbukan memerangi pengganas. Setelah bebas, peruntukan besar digunakan untuk membina semula negara serta memberikan dana secukupnya kepada pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan sebagainya,” katanya.


Katanya, pasukan Tentera Darat terbukti menempa banyak kejayaan dalam setiap misi perjuangan bermula dengan episod penjajahan Jepun sekitar 1941. Diikuti pula dengan era konfrontasi serta peperangan melawan insurgensi yang berakhir pada 1989.

“Tarikh 1 Mac 1933 adalah satu sejarah besar kerana ia adalah penubuhan Rejimen Askar Melayu dan Tentera Darat Malaysia. Pasukan Askar Melayu dibentuk dengan 25 anggota, namun pasukan kecil ini membuktikan kemampuan serta menolak tanggapan penjajah Inggeris bahawa orang Melayu tidak layak menjadi anggota tentera serta tidak sanggup menerima disiplin ketenteraan.


“Kini pasukan Tentera Darat sedang pesat dipermodenkan sebagai satu pasukan tentera konvensional yang mampu menghadapi cabaran masa depan dalam mengharungi cabaran masa kini yang lebih kompleks serta sukar dijangka. Tentera Darat mesti bersiap siaga kerana ia adalah teras utama kedaulatan negara dan harus berkeupayaan melaksanakan pelbagai misi dalam apa juga dimensi,” katanya.


Bukan itu saja, beliau bangga terhadap perkhidmatan pasukannya di luar negara menjalankan misi keamanan sejagat di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


“ATM terus diberi kepercayaan PBB apabila pasukan Malcon East (ME) digerakkan untuk menyertai misi pengaman di Lubnan. Tentera Darat dianggap tulang belakang kerana ia membabitkan operasi darat. Kebanyakan operasi memerlukan kepakaran darat dan pencapaian kami sangat dibanggakan. “Ini kerana tahap disiplin serta komitmen tinggi membantu negara luar mendapatkan keamanan mereka.

“Kini dua kontinjen sedang berkhidmat di bawah Unifil iaitu ME yang berkhidmat di Kaoukaba dan Malcon West di At Tiri di selatan Lubnan. Dengan pertambahan kekuatan anggota daripada 300 kepada 400 orang, Malcon West dinaik taraf kepada Batalion Malaysia atau Malbatt yang dijangka menamatkan misi pada April ini dan dan bakal digantikan dengan Malbatt 2,” katanya yang menjelaskan tugas pasukannya untuk memberikan perlindungan keselamatan serta bertanggungjawab bertindak balas terhadap tindakan ganas ke atas anggota misi pengaman PBB.


Ini kerana, jelas beliau, anggota ME melaksanakan tugas dengan penuh berdedikasi selain menjalankan aktiviti kemasyarakatan termasuk program gerak saraf.


“Pasukan tentera kita mendapat pujian kerana keupayaan mereka mengendalikan sistem persenjataan dan komunikasi. Faktor mampu menyesuaikan diri dengan masyarakat di sana turut diambil kira,” katanya yang turut menghantar anggota dan pegawai wanita bertugas selama empat bulan di sana.


Pada ulang tahun ke-77 ini bertemakan ‘Tentera Darat Mendukung Aspirasi Rakyat dan Kedaulatan Negara’, tema yang diguna pakai sejak empat tahun lalu menterjemahkan mengenai tanggungjawab pasukan itu menunaikan kehendak rakyat yang ingin keamanan negara dikekalkan.


“Pasukan ini sudah menjalani pelbagai transformasi. Satu ketika dulu, persepsi masyarakat mengenai tentera adalah bawa senjata, masuk hutan, naik dan turun bukit. Sejak 15 tahun lalu, kami mewujudkan satu sistem yang moden memperkukuhkan pertahanan negara. “Tema ini bersesuaian dengan matlamat gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan , Pencapaian Diutamakan. Kita bertanggungjawab menjaga kehormatan kedaulatan negara daripada dicerobohi mana-mana pihak. Sudah tiba masanya rakyat menikmati pelbagai kejayaan, kesenangan dan ketenteraman,” katanya.


Sebagai rakyat biasa, pengorbanan pasukan mereka bertungkus-lumus siang dan malam menjaga keselamatan negara tidak harus dilupakan. Semoga ulang tahun ke-77 ini akan menyedarkan sesetengah pihak tanpa pasukan tentera, tidur mereka tidak mungkin lena.

sumber:daripada wartawan harian metro

No comments:

Post a Comment